Tuesday, April 17, 2012

Itu Sunnah

Sunnah adalah apa yang dipindahkan dari Rasulullah setiap perkara yang merangkumi,perbuatan,perkataan dan taqrir (baginda berdiam diri,tidak menunjukkan persetujuan atau bantahan terhadap sesuatu perkara) sebelum nabi diutus menjadi nabi atau selepasnya. 

Mudah nak difahami ialah setiap apa yang Nabi katakan dan setiap apa yang Nabi lakukan sepanjang hayatnya dari sejak kanak-kanak hingga kepada hari kewafatan baginda s.a.w ianya adalah sunnah. Sunnah adalah perkara yang kita harus contohi sedaya dan semampu kita,malah kita digalakkan untuk berusaha sehabis baik untuk mengikuti dan mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w.

Seperti yang kita sedia maklum,Nabi Muhammad mempunyai akhlak yang sangat terpuji. Bayangkan akhlak Nabi adalah al-quran. Sebaik-baik manusia yang wujud di muka bumi, semulia-mulia insan yang diciptakan Allah dan sesantun-santun manusia yang tiada tolok bandingnya. Sehingga baginda bukan sahaja dicintai setiap manusia yang menampinginya,yang hidup bersamanya dan selepasnya malahan baginda dihormati dan dikagumi oleh musuh-musuhnya.

Kita sering bermegah-megah dengan sunnah baginda yang hebat-hebat,yang besar-besar,yang kadang kala kita tidak yakin kita mampu melakukannya. Senang contoh, bila masuk bab berpoligami semua lelaki setuju, semua lelaki nak jadikan contoh, ada yang kata kalau tak ikut sunnah yang itu,satu kerugian bagi mereka. Tapi bila bab adilnya,bila bab menyantuni isteri-isterinya, bila bab melayan anak-anaknya ataupun menunaikan nafkahnya selalu sahaja lari jauh dari sunnah baginda. Cuba fikir balik,bila nak ikut contoh nabi dalam sesuatu perkara, perlulah mengambil semua aspek sunnah dalam perkara itu sebaik-baiknya.

Saya bukan mahu prejudis, cuma menjadikan contoh. Banyak sebenarnya amalan-amalan sunnah yang sangat mudah untuk kita contohi tapi kita meremehkannya. Antaranya:-

  1. Mengalihkan halangan di tengah jalan seperti duri,batu,kayu dll yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan itu, rasanya jarang sekali kita amalkan. Seboleh-bolehnya kita mengelak daripada benda yang menghalang itu tanpa mengenepikannya. 
  2. Meneggelamkan lalat yang masuk dalam air (sesudah itu dibuang lalat itu) kemudian meminum airnya. Kita kalau nampak lalat dalam jug air,terus buang air satu jug tu,tapi kalau ada semut,kita buang semutnya sahaja,sedangkan nabi melarang kita dari minum air yang ada bangkai semut.
  3. Mengucapkan salam bila berpapasan di perjalanan. Ini amalan utama yang Nabi lakukan. Tapi sekarang amalan inilah yang paling kurang dalam masyarakat kita. kerana itulah ukhuwah kita semakin renggang,nak ucap salam pun kita malu,dengan alasan saling tidak mengenali.
  4. Melemparkan senyuman (yang ikhlas dengan niat menyenangkan hati orang lain) . Sedang nabi telah bersabda mafhumnya senyum itu sedekah,tapi lebih ramai yang rela mempamerkan muka masam bak cuka dari dapat pahala bersedekah.
  5. Menjaga kebersihan. Bukan setakat bersih baju sendiri sahaja, malah kebersihan persekitaran kita. Tidak kiralah walau dimana pun kita berada. Cuba anda lihat,bila kita berjalan ke mana-mana, maka kita akan melihat betapa sampah dibuang merata-rata. Longkang penuh sampah,kaki lima banyak sampah,kedai makan pun ada sampah. Yang paling sadis orang yang buang sampah dari dalam kereta (ketika kereta bergerak). Memang dah jadi masyarakat yang tidak bertimbang rasa. Sedangkan bukan susah pun kalau bunag sampah dalam tong sampah,atau simpan sampah sekejap sebelum jumpa tong sampah. Dapat pahala buang sampah dengan cara yang betul.
Itu antara sunnah-sunnah yang sebenarnya sangat mudah untuk kita buat,tapi kita ambil mudah dengan perkara-perkara itu. Sedangkan sekecil-kecil sunnah yang kita amalkan itu ganjarannya adalah pahala. Berlatihlah untuk amalkan sunnah-sunnah yang kecil-kecil dengan istiqamah, mudah-mudahan Allah mudahkan kita untuk mengamalkan sunnah-sunnah yang lebih besar, insyaAllah. Jangan sibuk mengejar gunung tapi kita lupa nak melihat tanah yang kita sedang berpijak. 

Jangan lupa untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad setiap hari,moga-moga kita beroleh syafaat daripadanya. Jom ikut sunnah Rasulullah s.a.w.

(^__^)v

Sunday, April 8, 2012

Belajar mencintai Allah & RasulNya


Orang yang mencari-cari ilmu itu umpama semut yang mencari gula. Dimana ada orang yang berilmu disitu pasti mereka berkumpul. Semoga rahmat Allah sentiasa bersama.

Sesungguhnya dalam setiap majlis ilmu itu pasti akan disertai oleh para malaikat. Mari sama-sama mencari keberkatan ilmu dengan menghadiri majlis-majlis yang boleh menyucikan hati serta menjadikan kita hamba yang sentiasa mencari jalan untuk mengenali dan menghampiri Khaliqnya.

~gambar majlis bersama Habib Ali Zainal Abidin b. Abdul Rahman al-Jufri di Masjid UIAM~

Thursday, April 5, 2012

time is passing away...

Dah bulan April.
Cepat betul masa berlalu.
Tau-tau nanti dah akhir tahun.
Suku tahun pertama berlalu.
Apa agaknya perubahan yang kita dah buat?
Apa yang kita sedang usahakan?
Apa yang kita dah upgrade?
urmm...
kadang-kadang terfikir,terlalu banyak yang kita mahu.
Tapi usaha kita belum sebanyak kemahuan kita.
Tak ada kejayaan yang datang bergolek.
Tidak ada juga yang datang melayang.
Kena tingkatkan usaha biar sampai bergolek-melayang.
Susah sikit tidak mengapa.
Agar bahagia dan kejayaan yang kita cari Allah tunjukkan.

\(^_^)/ Gambate!!

Monday, April 2, 2012

Riak & Ujub: wa na'uzubillahi min zalik.

Dalam kita melakukan kebaikan dan menyebarkan kebaikan. Ada  perkara yang kita wajib hindari iaitu rasa riak dan ujub. Riak adalah perasaan untuk menunjuk-nunjuk kebaikan yang kita lakukan,supaya orang lain boleh melihat kebaikan kita. Ujub pula adalah perasaan berbangga diri dengan kelebihan yang kita ada,sehingga kita rasa kita lebih baik dari orang lain.

Bila kita melakukan perkara baik yang di tuntut oleh Allah s.w.t,sapatutnya perkara itu kita lakukan dengan niat 'liLlahi ta'ala' tetapi sebaliknya kita lakukannya dengan niat supaya orang nampak kebaikan kita dan orang akan recognize kebaikan kita,perkara kebaikan yang kita buat itu tidak akan dinilai oleh Allah dengan nilaian pahala sebaliknya Allah akan menilainya dengan dosa kerana niat riak kita.

Begitu juga,apabila kita buat kebaikan,kita rasa kagum dengan kebaikan kita,melakukan ibadah kita kagum dengan ibadah kita. Bila kita rasa kagum dengan amalan-amalan kita,kita akan menjadi orang yang berbangga diri dan tidak pernah rasa nak perbaiki diri kita. Amal ibadah yang dilakukan dengan niat ujub ini maka dosalah ganjaran bagi mereka.

Sebenarnya,saya sedang mengingatkan diri saya sendiri agar melakukan apa jua perkara semata-mata mengharapkan keredhaan Allah. Mohon untuk dijauhkan dari perasaan-perasaan yang hanya menjadikan kita orang-orang yang rugi. Rugi kerana benda baik yang kita lakukan tetapi dengan niat yang salah,tidak dapat memberi manfaat kepada diri kita di akhirat nanti. Sedangkan itu sahajalah bekalan kitananti.

Saya mendengar orang-orang alim pernah berpesan,bila sahaja perasaan begitu mencul dalam hati,cepat-cepat istighfar dan kembali betulkan niat. Mohon Allah tetapkan hati kita. Sebab sememangnya syaitan itu ada dalam diri kita dan sentiasa membisikkan rasa-rasa jahat itu untuk hadir,maka dengan hanya berzikir dan beristighfar,insyaAllah boleh menetapkan hati kita dan menjaga iman kita daripada rosak dan merugikan diri kita sendiri. Amalkan juga zikir nabi Yunus a.s :
"laillaha illa anta,subahanaka inni kuntu minaz-zolomin"
maksudnya :“Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

Wednesday, March 28, 2012

Hidup ini Benar, untuk mencari Hidup yang lebih Abadi.

Hakikatnya kita hidup hari ini adalah untuk kita menyediakan bekalan untuk masuk ke alam barzakh nanti. Andai kita menginginkan yang sedap-sedap dan enak-enak sambil berehat di sana,maka perbanyakkanlah amalan. 

Realitinya juga,penghidupan kita hari ini adalah untuk kita membuat pilihan samada melakukan amal kebaikan atau kejahatan kerana apabila kita di bangkitkan di padang mahsyar yang padanya juga hanya terdapat 2 pilihan sahaja samada syurga atau neraka. 

Sedarkah kita,pilihan untuk ke syurga atau ke neraka itu telah pun kita lakukan semasa hayat kita di dunia? kerana apa jua pilihan yang kita buat di dunia ini,itulah penentu kesudahan kita di akhirat nanti.

Semoga kita seeeeemuuuuaaaaaa menjadi manusia-manusia yang akan bertemu di syurga Allah kerana pilihan bijak kita sepanjang hayat kita di dunia.
Membayangkan sahaja kelam gelap pekatnya kubur itu sudah amat menakutkan apatah lagi bila yang menjadi teman itu adalah binatang-binatang yang berbisa dan suara-suara munkar dan nakir yang menggerunkan bersama belati yang bila dihayun ke badan,maka hancur berkecailah seluruhnya. 


Tapi,dosa-dosaku masih terlalu banyak, sedang usaha untuk memperbaikinya jarang istiqamah.Kerana yakin dengan pengampunan Allah,menjadikan aku kadang-kala sangat leka dengan dunia yang sementara.Sedangkan umurku ini adalah rahsia Allah, bila berakhirnya tidakku ketahui,boleh jadi sesaat nanti.

Ya Allah...sungguh gerun,sungguh aku takut dengan siksaMu...
Ampunilah dosa-dosa kami,dosa-dosa ibu-bapa kami,ahli keluarga kami, guru-guru kami, serta muslimin dan muslimat. Jadikanlah kami orang-orang yang tetap di atas jalanMu dan sentiasa mencari redhaMu, rahmatilah kami dan jadikanlah kami orang-orang yang menjadikan cintaMu yang teragung di antara cinta-cinta yang ada di dunia ini...

ameen ya rabbal alameen...

(T_T)

Thursday, March 22, 2012

Aurat itu Maruah!

Akhirnya, ini kesempatan yang ada setelah agak carca marba sedikit rutin kehidupan 2-3 minggu kebelakangan ini. Seperti yang saya nyatakan pada entry yang lepas, tentang sesuatu yang saya ingin kongsikan bersama. Pada hemat saya, apa yang ingin saya perkatakan ini adalah sesuatu yang sangat serius dan perlu diambil berat, perlu diambil tahu dan perlu dijaga dari terus menjadi barah yang tiada ubatnya.

Perihal aurat anak-anak gadis yang meningkat dewasa dan di alam remaja. Sepanjang saya berkampung di stadium tempoh hari, saya rasa sangat tidak selasa dengan apa yang terbentang di hadapan mata. Betapa pelajar-pelajar sekolah menengah itu tanpa segan silu memakai seluar pendek (sesetengahnya terlalu pendek) serta ada juga yang bersinglet sahaja. Tidak dinafikan,itu adalah pakaian 'rasmi' untuk atlet-atlet sukan akan tetapi adakah matlamat untuk bersukan itu menghalalkan mereka untuk sewenang-wenangnya mendedahkan apa yang WAJIB bagi mereka untuk disembunyikan? lebih menyayat hati guru-guru yang menjadi jurulatih dan pengurus mereka juga seorang muslim. Di mana tanggungjawab seorang muslim,bila anak-anak perempuan mereka boleh keluar bebas menjadi tatapan mata-mata lelaki yang bukan ajnabi tanpa rasa malu. Di mana tanggungjawab mereka untuk menasihati anak-anak ini supaya menutup aurat. Sedangkan perihal menutup aurat itu adalah perkara yang sangat 'comment sense'. Semua orang tahu kewajiban menutup aurat. WAJIB!tahu tak WAJIB! Ya Allah...saya tak tahu nak cakap macamana.

Islam menggalakkan kita bersukan,beriadah dan melakukan aktiviti-aktivi 'out-door' lain untuk kesihatan jasmani dan akal. Islam tidak menghalang kita untuk melakukan apa yang menjadi kecenderungan kita, TAPI dengan cara BERSYARIAT. Jagalah syariat. Apalah salahnya bersukan dengan menutup aurat? Takut kalah ke? Takut ditertawakan orang ke? Takut dengan bertutup-tutup itu boleh menutup peluang untuk menang ke? 'Come on lah..' buat apa takut sangat dengan manusia? takut layaknya untuk Allah je,takut azab-Nya...takut siksa-Nya dan takut neraka-Nya.

Please lah ibu-bapa,guru-guru terutamanya...jaga anak-anak kita..aurat mereka adalah maruah mereka. Kalaulah bersukan itu menghalang mereka dari menutup aurat,maka tinggalkanlah..buat lari setempat kat rumah je ataupun buat aerobik je. Itu jauh lebih baik dari siksa api neraka dan kemurkaan Allah. Wahai insan-insan guru dan ibu-bapa,andai kamu yang mengarahkan dan membenarkan mereka membuka aurat sesungguhnya kamu juga memegang saham dosa-dosa mereka. Betapa kamu berdosa kerana tidak menghalang mereka dari melakukan dosa,kerana kamu bertanggungjawab mendidik dan menasihati mereka. Ingat,apa yang ada di dunia ini,segala pujian,kehebatan, sanjungan tidak ada nilai langsung kalau setiapnya itu datang beserta dengan perbuatan-perbuatan yang melanggar syariah Allah. Buatlah sesuka kamu selagi kamu mengikut landasan Allah, dan tinggallah segalanya andai kamu perlu menggadaikan agama kamu. Kamu tidak bernilai walau sesen pun!

Wednesday, March 7, 2012

Kena Panggang Separuh Rentung

4 hari duduk bawah terik matahari.
Dok jadi JAGA kehormat.
Tengah-tengah stadium.
Dok angkat bendera putih/kuning sokmo.
Ada benda jugak nak cerita.
Tapi,memerlukan masa.
La nie..balik petang...badan dah penat..mata cepat jer layu....
jadinya tak dan nak cerita.
till next time.
bye!
(^__^)

Sunday, March 4, 2012

Ikhlas?

Ikhlas...sangat susah untuk mengikhlaskan hati dalam apa jua keadaan. Kadang-kala bila kita melakukan sesuatu perbuatan sering terungkap kata-kata "aku ikhlas buat semua ini" atau mungkin "aku ikhlas memberi itu dan ini". Ungkapan pada bibir yang berbicara,bila di tanya pada hati sejauh manakah ikhlas kita, kita sendiri tidak pasti. Usai beberapa ketika,kala setiap perbuatan dan pekerjaan yang kita lakukan dengan penuh keikhlasan pada awalnya di pertikaikan atau dipersoalkan tiba-tiba kita akan memberontak,menggungkit kembali apa yang kita lakukan dengan ikhlas pada awalnya,namun tahukah kita,bila saja kita mula membangkit dan menggungkit setiap apa yang kita lakukan...ikhlas itu telah hilang,pergi bersama rontaan perasaan yang terkilan kerana perbuatan ikhlas itu tidak dihargai oleh orang lain. 

Selidiki kembali hati kita,ikhlaskah kita? bila kita mengatakan "aku ikhlas buat semua kerja,sikitpun orang tak hargai" di sinilah nilai ikhlas kita itu hilang dan lenyap...kerana kita mengharapkan usaha kita itu dihargai oleh orang lain,itu bukan ikhlas namanya,itu tandanya kita berbuat sesuatu perkara dengan harapan kita dihargai oleh manusia lain. Sedang ikhlas itu adalah apabila kita melakukan sesuatu perbuatan,TANPA kita mengharapkan orang lain menghargai usaha kita atau mengharapkan pujian dari mereka. Sebaliknya,kita melakukan setiap perbuatan dengan sebaik-baiknya dengan harapan Allah yang akan menilai setiap usaha kita tanpa perlu mempertikaikan pandangan dari manusia.

Biarkan mereka mempertikaikan apa jua yang kita lakukan,jangan di ungkit keikhlasan kita melakukannya. Sabar dan hadapinya dengan tenang serta berdoa semoga Allah menerima setiap apa yang kita lakukan dengan pahala ikhlas yang tidak kita ungkapkan dibibir. Percayalah,bila kita membiarkan manusia menilai,maka kita akan hampa dengan nilaian mereka,tetapi bila kita meletakkan kepada Allah segala keputusan dan bertawakkal kepadanya,pasti nilaian Allah itu sangat tinggi harganya dan kita akan merasa bahagia.

Saya sedang belajar untuk merasa ikhlas dengan erti kata yang sebenar. Semoga kalian dan saya akan menjadi hamba Allah yang sentisa ikhlas dalam amalan dan perbuatan.InsyaAllah....