Showing posts with label Sekadar Ingatan. Show all posts
Showing posts with label Sekadar Ingatan. Show all posts

Monday, November 12, 2012

Kepelikkan Manusia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Saya memerhati,dan melihat. Mungkin anda juga. Manusia ini memang pelik, terutama pada beberapa perkara ini:

Bila seorang lelaki (suami/abang/ayah/adik/atau mungkin kekasih) menyatakan sayang kepada seorang wanita. Tetapi bangga bila wanita itu menayangkan auratnya. Kembang semangkuk bila wanita itu dipuji dan dipuja kecantikkan mereka.Sayang tahap mana ya rasanya? Kalau sayang kenapa tidak di ajar,untuk menutup apa yang wajib ditutup. Menyimpan apa yang wajib disimpan. Wanita kesayangan anda,bukan bahan tontonan umum. Tak kasihan ke nanti mereka akan dicampak ke neraka kerana tidak menutup aurat mereka? Kalau sayang mestilah nak bawa mereka ke syurga,bukan terang-terang tunjuk jalan ke neraka. Lagi-lagi kalau suami yang suka sangat isteri dia pakai seksi-seksi. Tak faham betul!!


Kemudian, ada pula lelaki-lelaki yang mengaku cinta kepada seorang gadis. Tapi bila disuruh untuk menikahi mereka dengan baik,lelaki-lelaki ini punya bermacam-macam alasan untuk melambat-lambatkan akad. Melengah-lengahkan perkara yang halal buat mereka. Alasan,takut tidak mampu melaksana tanggungjawab lah, tidak bersedialah dan macam-macam lagi alasan sampah yang tidak mampu diterima akal fikiran yang waras. Bertanggungjawab ke kalau kelik anak dara orang kulu-kilir? Mampu ke nak tanggung dosa berdua-duaan dan berkasih-kasihan dengan orang yang tidak halal? Islam tu kan mudah, akad itu kan halal. Kalau rasa tidak mampu, jangan lah di ucap kata cinta sebab itu namanya nak tambah koleksi dosa yang sememangnya dah sedia terbeban di atas bahu kita. Lepas tu ajak pulak si gadis kumpul dosa bersama-sama. Itu bukan cinta sampai syurga. Itu ajak masuk neraka bersama-sama.

Korang rasa pelik tak? pada saya,sangat pelik. Allah dah beri panduan yang baik,tapi kita tolak. Allah suruh buat benda baik,Allah suruh masuk syurga, Allah ajar dengan pelbagai hikmah tapi kita yang refuse. Jangan salahkan Allah bila sampai masanya nanti. Bila dah sampai depan neraka baru nak menyesal. Masa tu dah takde maknanya sayang-sayang. Masa tu,semua dosa nak bagi kat orang.

Let's turn to Allah!!


Thursday, September 6, 2012

::Perkahwinan::

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Bukan kepakaran saya dalam bidang ini. Bukan juga saya yang menghadapi. 

Berkahwin adalah satu sunnah Rasulullah s.a.w. Perkahwinan adalah satu dari tuntutan agama. Sehingga Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda dalam hadisnya sesungguhnya perkahwinan itu umpama menyempurnakan sebahagian agama. Jelas betapa perkahwinan itu bukan perkara yang boleh dibuat gurauan atau permainan.

Ramai yang telah berkata dan memberi pendapat tentang perkara ini. Akan tetapi bila terkena dalam situasi ini,saya terasa ingin mengingatkan kembali di mana pentingnya sebuah perkahwinan. 

Kebanyakkan dari kita sanggup bergadai dan berhabis untuk meraikan majlis sehari. Sanggup bertegas dan betegang urat hanya kerana hiasan pelamin, bilik tidur, rumah dan pakaian. Sampai lupa fokus,tujuan dan matlamat berlakunya perkahwinan itu.

Kahwin itu bukan tentang hari berlangsungnya majlis 'Walimatul urus' itu, tetapi ianya tentang kehidupan selepas itu. Bagaimana mahu menjadi seorang iman (suami), bagaimana pula peranan seorang makmum (isteri). Bagaimana mahu menambahkan keredhaan Allah dalam rumahtangga dan bagaimana untuk istiqamah menjadi hamba Allah yang sedang menyempurnakan agama. Perkahwinan itu adalah tentang agama,tentang sunnah Rasulullah dan tentang tuntutan Allah s.w.t. Itulah matlamatnya. Lupakan kemeriahan dan kegemilangan sehari dengan busana dan hiasan yang cantik,tapi terus fokus kepada redhakah Allah ke atas diriku serta suamiku? Redhakah Allah ke atas majlis perkahwinanku dan pakaianku? Redhakah Allah ke atas setiap gerak laku diriku?

Bila segalanya kerana Allah, insyaAllah segalanya akan jadi indah, cantik dan menyenangkan mata-mata yang memandang. Fikirkan tentang ukhuwah yang dibina kerana Allah,dan kehadiran tetamu itu adalah rahmat dari Allah selain tanda kegembiraan kedua ibu-bapa kita bila dapat berkumpul dengan sanak saudara dan sahabat lama.

Semoga Allah merahmati,memberkati,memberi kelapangan hati, menunjukkan jalan yang dicari,memberi ilham suci dan mengekalkan keikhlasan hati dalam melaksanakan setiap tanggungjawab kita sebagai hambaNya.

Sentiasa ingat matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Buatlah apa pun selagi Allah adalah keutamaan kita.


Friday, August 31, 2012

J.U.J.U.R

Menjadi berani dengan bersikap jujur itu bukan sia-sia. Menjadi penakut dengan hanya mereka alasan dan menipu itu malapetaka.

Berselindung disebalik wajah yang manis bak gula sedang dihatinya punya banyak muslihat itu menyedihkan. Mempamerkan kekurangan dan mengakui kesilapan itu sebenarnya kemenangan.

Tidak pernah kalah orang yang jujur dengan hati dan rasanya. Tidak juga tewas orang yang berani mengakui kesilapan andai benar apa yang dirasa dan apa yang dia mahu itu sesuatu yang baik buat dirinya. Jujur bila berkata-kata,jujur bila meluah rasa, jujur tika membuat keputusan, jujur melakukan sesuatu tindakan.

Apa perlunya menyalahkan orang lain atas tindakan sendiri? Apa hebatnya menunding jari kepada orang lain atas silap diri sendiri? It's ok to make mistake,sebab kita manusia. But it's worse bila anda mencari orang lain sebagai alasan kesalahan keputusan dan tindakan anda! Sedangkan Allah memberi keampunan hanya kepada hambaNya yang mengakui kesilapan dengan jujur dan benar-benar memohon keampunan. Dan sia-sialah mereka yang tahu tentang salah dan silap sendiri tetapi tidak mengakuinya kerana keampunan yang diminta tidak ikhlas dari hatinya.

Sesiapapun punya sebab untuk merasa tersangat sedih dan marah dalam masa yang sama, bila setiap alasan dan sebab yang diberi hanya untuk membela diri,hanya untuk mencari kebaikan diri sendiri dan segala salah itu berpunca dari orang lain. Sesiapapun punya sebab untuk terus rasa benci dengan perbuatan orang yang menjadikan kita sebagai satu sebab berlakunya persengketaan sedang kita tidak pernah tahu hujung pangkal sebuah cerita. 

Matanglah dalam menimbang sesuatu perkara dan membuat sesuatu perkiraan. Kita tidak hidup di dunia ini sendirian,tapi kita hidup secara bermasyarakat. Mungkin hari ini kita melakukan khilaf terhadap seseorang,siapa tahu esok kita memerlukan seseorang itu sebagai penolong kita. Kita tidak mungkin akan sentiasa terlindung dari kesilapan kita,kerana tanpa kita sedari kadang-kala kita sendiri yang akhirnya membuka pekung di dada sendiri serta meletakkan harga diri kita begitu murah dimata orang lain.

Jom muhasabah & perbaiki diri.
Rasulullah s.a.w bersabda,tidak pernah terlewat untuk kita melakukan kebaikan serta menjadi orang yang lebih baik. Moga-moga hidup kita tidak sia-sia kerana keegoaan dan kebodohan diri kita sendiri.

Jangan tewas dengan kehendak hawa nafsu. Berfikir dengan iman bukan setakat untuk kebaikan diri sendiri tetapi juga untuk kebaikan orang lain. Semoga Allah merahmati.

Wednesday, July 11, 2012

Seminggu jer lagi...

Alhamdulillah...
kita masih hidup lagi hari ini....
Allah beri kesempatan untuk kita menilai diri lagi...
kita diberi peluang untuk memperbaiki diri...

Kenapa masih ada hari ini buat kita?
kerana kita punya banyak dosa...
kerana kita diberi masa oleh-Nya...
untuk memohon keampunan dan memperbaiki segala kekurangan...
sebagai tanda Dia menyayangi kita...
diberi peluang sementara pintu taubat itu masih terbuka...

Moga-moga...
kita mendapat keberkatan dalam bulan Sya'aban ini...

Moga-moga...
Allah hidupkan kita sampai ke bulan Ramadhan...
bulan yang digandakan amalan...
bulan diberikan hadiah Lailatul Qadr...
bulan yang penuh keberkahan...
bulan yang penuh kemuliaan...

Ya Allah..
Jadikanlah kami,keluarga kami,sahabat-sahabat kami dan seluruh muslimin dan muslimat...
orang-orang yang memanfaatkan Ramadhan dengan segala kebaikan,menjauhkan kami dari kemungkaran,menjadikan Ramadhan sebagai bulan yang menemukan kami dengan hidayahMu,menjadikan kami kekal tsabit dalam jalanMu,menjadikan kami mencintai bulan ini sebagaimana Rasulullah s.a.w mencintainya dan menjadikan kami orang-orang yang merindui kehadiranNya serta sampaikanlah kami pada Ramadhan yang akan datang dan ganjarilah amalan kami dengan sebaik-baik pahala disisiMu...

Allahumma solli 'ala saiyyidina Muhammad,wa 'ala alihi wasohbihi wasallam...
walhamdulillahi rabbil 'alamin...



Tuesday, April 17, 2012

Itu Sunnah

Sunnah adalah apa yang dipindahkan dari Rasulullah setiap perkara yang merangkumi,perbuatan,perkataan dan taqrir (baginda berdiam diri,tidak menunjukkan persetujuan atau bantahan terhadap sesuatu perkara) sebelum nabi diutus menjadi nabi atau selepasnya. 

Mudah nak difahami ialah setiap apa yang Nabi katakan dan setiap apa yang Nabi lakukan sepanjang hayatnya dari sejak kanak-kanak hingga kepada hari kewafatan baginda s.a.w ianya adalah sunnah. Sunnah adalah perkara yang kita harus contohi sedaya dan semampu kita,malah kita digalakkan untuk berusaha sehabis baik untuk mengikuti dan mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w.

Seperti yang kita sedia maklum,Nabi Muhammad mempunyai akhlak yang sangat terpuji. Bayangkan akhlak Nabi adalah al-quran. Sebaik-baik manusia yang wujud di muka bumi, semulia-mulia insan yang diciptakan Allah dan sesantun-santun manusia yang tiada tolok bandingnya. Sehingga baginda bukan sahaja dicintai setiap manusia yang menampinginya,yang hidup bersamanya dan selepasnya malahan baginda dihormati dan dikagumi oleh musuh-musuhnya.

Kita sering bermegah-megah dengan sunnah baginda yang hebat-hebat,yang besar-besar,yang kadang kala kita tidak yakin kita mampu melakukannya. Senang contoh, bila masuk bab berpoligami semua lelaki setuju, semua lelaki nak jadikan contoh, ada yang kata kalau tak ikut sunnah yang itu,satu kerugian bagi mereka. Tapi bila bab adilnya,bila bab menyantuni isteri-isterinya, bila bab melayan anak-anaknya ataupun menunaikan nafkahnya selalu sahaja lari jauh dari sunnah baginda. Cuba fikir balik,bila nak ikut contoh nabi dalam sesuatu perkara, perlulah mengambil semua aspek sunnah dalam perkara itu sebaik-baiknya.

Saya bukan mahu prejudis, cuma menjadikan contoh. Banyak sebenarnya amalan-amalan sunnah yang sangat mudah untuk kita contohi tapi kita meremehkannya. Antaranya:-

  1. Mengalihkan halangan di tengah jalan seperti duri,batu,kayu dll yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan itu, rasanya jarang sekali kita amalkan. Seboleh-bolehnya kita mengelak daripada benda yang menghalang itu tanpa mengenepikannya. 
  2. Meneggelamkan lalat yang masuk dalam air (sesudah itu dibuang lalat itu) kemudian meminum airnya. Kita kalau nampak lalat dalam jug air,terus buang air satu jug tu,tapi kalau ada semut,kita buang semutnya sahaja,sedangkan nabi melarang kita dari minum air yang ada bangkai semut.
  3. Mengucapkan salam bila berpapasan di perjalanan. Ini amalan utama yang Nabi lakukan. Tapi sekarang amalan inilah yang paling kurang dalam masyarakat kita. kerana itulah ukhuwah kita semakin renggang,nak ucap salam pun kita malu,dengan alasan saling tidak mengenali.
  4. Melemparkan senyuman (yang ikhlas dengan niat menyenangkan hati orang lain) . Sedang nabi telah bersabda mafhumnya senyum itu sedekah,tapi lebih ramai yang rela mempamerkan muka masam bak cuka dari dapat pahala bersedekah.
  5. Menjaga kebersihan. Bukan setakat bersih baju sendiri sahaja, malah kebersihan persekitaran kita. Tidak kiralah walau dimana pun kita berada. Cuba anda lihat,bila kita berjalan ke mana-mana, maka kita akan melihat betapa sampah dibuang merata-rata. Longkang penuh sampah,kaki lima banyak sampah,kedai makan pun ada sampah. Yang paling sadis orang yang buang sampah dari dalam kereta (ketika kereta bergerak). Memang dah jadi masyarakat yang tidak bertimbang rasa. Sedangkan bukan susah pun kalau bunag sampah dalam tong sampah,atau simpan sampah sekejap sebelum jumpa tong sampah. Dapat pahala buang sampah dengan cara yang betul.
Itu antara sunnah-sunnah yang sebenarnya sangat mudah untuk kita buat,tapi kita ambil mudah dengan perkara-perkara itu. Sedangkan sekecil-kecil sunnah yang kita amalkan itu ganjarannya adalah pahala. Berlatihlah untuk amalkan sunnah-sunnah yang kecil-kecil dengan istiqamah, mudah-mudahan Allah mudahkan kita untuk mengamalkan sunnah-sunnah yang lebih besar, insyaAllah. Jangan sibuk mengejar gunung tapi kita lupa nak melihat tanah yang kita sedang berpijak. 

Jangan lupa untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad setiap hari,moga-moga kita beroleh syafaat daripadanya. Jom ikut sunnah Rasulullah s.a.w.

(^__^)v

Monday, April 2, 2012

Riak & Ujub: wa na'uzubillahi min zalik.

Dalam kita melakukan kebaikan dan menyebarkan kebaikan. Ada  perkara yang kita wajib hindari iaitu rasa riak dan ujub. Riak adalah perasaan untuk menunjuk-nunjuk kebaikan yang kita lakukan,supaya orang lain boleh melihat kebaikan kita. Ujub pula adalah perasaan berbangga diri dengan kelebihan yang kita ada,sehingga kita rasa kita lebih baik dari orang lain.

Bila kita melakukan perkara baik yang di tuntut oleh Allah s.w.t,sapatutnya perkara itu kita lakukan dengan niat 'liLlahi ta'ala' tetapi sebaliknya kita lakukannya dengan niat supaya orang nampak kebaikan kita dan orang akan recognize kebaikan kita,perkara kebaikan yang kita buat itu tidak akan dinilai oleh Allah dengan nilaian pahala sebaliknya Allah akan menilainya dengan dosa kerana niat riak kita.

Begitu juga,apabila kita buat kebaikan,kita rasa kagum dengan kebaikan kita,melakukan ibadah kita kagum dengan ibadah kita. Bila kita rasa kagum dengan amalan-amalan kita,kita akan menjadi orang yang berbangga diri dan tidak pernah rasa nak perbaiki diri kita. Amal ibadah yang dilakukan dengan niat ujub ini maka dosalah ganjaran bagi mereka.

Sebenarnya,saya sedang mengingatkan diri saya sendiri agar melakukan apa jua perkara semata-mata mengharapkan keredhaan Allah. Mohon untuk dijauhkan dari perasaan-perasaan yang hanya menjadikan kita orang-orang yang rugi. Rugi kerana benda baik yang kita lakukan tetapi dengan niat yang salah,tidak dapat memberi manfaat kepada diri kita di akhirat nanti. Sedangkan itu sahajalah bekalan kitananti.

Saya mendengar orang-orang alim pernah berpesan,bila sahaja perasaan begitu mencul dalam hati,cepat-cepat istighfar dan kembali betulkan niat. Mohon Allah tetapkan hati kita. Sebab sememangnya syaitan itu ada dalam diri kita dan sentiasa membisikkan rasa-rasa jahat itu untuk hadir,maka dengan hanya berzikir dan beristighfar,insyaAllah boleh menetapkan hati kita dan menjaga iman kita daripada rosak dan merugikan diri kita sendiri. Amalkan juga zikir nabi Yunus a.s :
"laillaha illa anta,subahanaka inni kuntu minaz-zolomin"
maksudnya :“Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

Wednesday, March 28, 2012

Hidup ini Benar, untuk mencari Hidup yang lebih Abadi.

Hakikatnya kita hidup hari ini adalah untuk kita menyediakan bekalan untuk masuk ke alam barzakh nanti. Andai kita menginginkan yang sedap-sedap dan enak-enak sambil berehat di sana,maka perbanyakkanlah amalan. 

Realitinya juga,penghidupan kita hari ini adalah untuk kita membuat pilihan samada melakukan amal kebaikan atau kejahatan kerana apabila kita di bangkitkan di padang mahsyar yang padanya juga hanya terdapat 2 pilihan sahaja samada syurga atau neraka. 

Sedarkah kita,pilihan untuk ke syurga atau ke neraka itu telah pun kita lakukan semasa hayat kita di dunia? kerana apa jua pilihan yang kita buat di dunia ini,itulah penentu kesudahan kita di akhirat nanti.

Semoga kita seeeeemuuuuaaaaaa menjadi manusia-manusia yang akan bertemu di syurga Allah kerana pilihan bijak kita sepanjang hayat kita di dunia.
Membayangkan sahaja kelam gelap pekatnya kubur itu sudah amat menakutkan apatah lagi bila yang menjadi teman itu adalah binatang-binatang yang berbisa dan suara-suara munkar dan nakir yang menggerunkan bersama belati yang bila dihayun ke badan,maka hancur berkecailah seluruhnya. 


Tapi,dosa-dosaku masih terlalu banyak, sedang usaha untuk memperbaikinya jarang istiqamah.Kerana yakin dengan pengampunan Allah,menjadikan aku kadang-kala sangat leka dengan dunia yang sementara.Sedangkan umurku ini adalah rahsia Allah, bila berakhirnya tidakku ketahui,boleh jadi sesaat nanti.

Ya Allah...sungguh gerun,sungguh aku takut dengan siksaMu...
Ampunilah dosa-dosa kami,dosa-dosa ibu-bapa kami,ahli keluarga kami, guru-guru kami, serta muslimin dan muslimat. Jadikanlah kami orang-orang yang tetap di atas jalanMu dan sentiasa mencari redhaMu, rahmatilah kami dan jadikanlah kami orang-orang yang menjadikan cintaMu yang teragung di antara cinta-cinta yang ada di dunia ini...

ameen ya rabbal alameen...

(T_T)

Thursday, March 22, 2012

Aurat itu Maruah!

Akhirnya, ini kesempatan yang ada setelah agak carca marba sedikit rutin kehidupan 2-3 minggu kebelakangan ini. Seperti yang saya nyatakan pada entry yang lepas, tentang sesuatu yang saya ingin kongsikan bersama. Pada hemat saya, apa yang ingin saya perkatakan ini adalah sesuatu yang sangat serius dan perlu diambil berat, perlu diambil tahu dan perlu dijaga dari terus menjadi barah yang tiada ubatnya.

Perihal aurat anak-anak gadis yang meningkat dewasa dan di alam remaja. Sepanjang saya berkampung di stadium tempoh hari, saya rasa sangat tidak selasa dengan apa yang terbentang di hadapan mata. Betapa pelajar-pelajar sekolah menengah itu tanpa segan silu memakai seluar pendek (sesetengahnya terlalu pendek) serta ada juga yang bersinglet sahaja. Tidak dinafikan,itu adalah pakaian 'rasmi' untuk atlet-atlet sukan akan tetapi adakah matlamat untuk bersukan itu menghalalkan mereka untuk sewenang-wenangnya mendedahkan apa yang WAJIB bagi mereka untuk disembunyikan? lebih menyayat hati guru-guru yang menjadi jurulatih dan pengurus mereka juga seorang muslim. Di mana tanggungjawab seorang muslim,bila anak-anak perempuan mereka boleh keluar bebas menjadi tatapan mata-mata lelaki yang bukan ajnabi tanpa rasa malu. Di mana tanggungjawab mereka untuk menasihati anak-anak ini supaya menutup aurat. Sedangkan perihal menutup aurat itu adalah perkara yang sangat 'comment sense'. Semua orang tahu kewajiban menutup aurat. WAJIB!tahu tak WAJIB! Ya Allah...saya tak tahu nak cakap macamana.

Islam menggalakkan kita bersukan,beriadah dan melakukan aktiviti-aktivi 'out-door' lain untuk kesihatan jasmani dan akal. Islam tidak menghalang kita untuk melakukan apa yang menjadi kecenderungan kita, TAPI dengan cara BERSYARIAT. Jagalah syariat. Apalah salahnya bersukan dengan menutup aurat? Takut kalah ke? Takut ditertawakan orang ke? Takut dengan bertutup-tutup itu boleh menutup peluang untuk menang ke? 'Come on lah..' buat apa takut sangat dengan manusia? takut layaknya untuk Allah je,takut azab-Nya...takut siksa-Nya dan takut neraka-Nya.

Please lah ibu-bapa,guru-guru terutamanya...jaga anak-anak kita..aurat mereka adalah maruah mereka. Kalaulah bersukan itu menghalang mereka dari menutup aurat,maka tinggalkanlah..buat lari setempat kat rumah je ataupun buat aerobik je. Itu jauh lebih baik dari siksa api neraka dan kemurkaan Allah. Wahai insan-insan guru dan ibu-bapa,andai kamu yang mengarahkan dan membenarkan mereka membuka aurat sesungguhnya kamu juga memegang saham dosa-dosa mereka. Betapa kamu berdosa kerana tidak menghalang mereka dari melakukan dosa,kerana kamu bertanggungjawab mendidik dan menasihati mereka. Ingat,apa yang ada di dunia ini,segala pujian,kehebatan, sanjungan tidak ada nilai langsung kalau setiapnya itu datang beserta dengan perbuatan-perbuatan yang melanggar syariah Allah. Buatlah sesuka kamu selagi kamu mengikut landasan Allah, dan tinggallah segalanya andai kamu perlu menggadaikan agama kamu. Kamu tidak bernilai walau sesen pun!

Sunday, January 15, 2012

Lakonan : Satu Sempadan

Baru lepas tengok citer 'Songlap'. Download 2 minggu lepas,tapi baru sempat nak tengok malam nie. Kawan saya cakap cerita nie tak best, mungkin sebab dia tengok kat wayang jadi dia rasa tak best. Jalan ceritanya agak monotonous. Cerita cereka biasa,kalau tengok kat tv biasa baru rasa macam best sikit lah. 

Mungkin pada mereka yang menonton cerita ini dengan akal dan fikiran bersama-sama dengannya tentu ada pengajaran yang kita boleh ambil. Tapi,masih berkisar tentang kehidupan hitam masyarakat Kuala Lumpur, yang hidup bersendikan wang 'haram' kerana kegiatan seludup anak dan wanita. Yang persekitarannya di penuhi oleh orang-orang yang terjebak dengan gejala negatif, dadah, kongsi gelap,judi, pelacuran dan kehidupan di lorong-lorong belakang. Satu hakikat,yang sangat menakutkan. 

Orang seperti saya kadang-kala mungkin akan mempertikaikan... "betul-betul ada ke perkara-perkara  begini?" nampak macam sengaja di perbesarkan.Bila di fikir-fikir sangat menyeramkan. Hidup bergelumang dosa tapi tidak ada terdetik rasa bersalah melakukannya. Biarpun pepatah "alang-alang menyeluk pekasam,biar sampai ke pangkal lengan" itu bagus,tapi dalam berbuat kemungkaran...jangan sekali ada rasa ingin terus berada di dalamnya. Nauzubillah....

Saya tidak faham mengapa industri hiburan Malaysia pada ketika ini sangat suka melambakkan cerita-cerita yang penuh dengan unsur negatif begini. Walaupun pada hemat pengarah dan penulis skrip adalah untuk memberi kesedaran kepada penonton supaya tidak melakukan perkara yang sama. Tetapi sebenarnya mereka telah membuka ruang yang sangat besar kepada penonton untuk melakukan perkara yang tidak baik itu bersama. Kerana,berapa ramai penonton yang mengambil iktibar ketika menonton?sedangkan pelakon yang melakonkan watak mereka sendiri tidak pernah mengambil iktibar dari apa yang mereka lakonkan.

Kesannya kepada anak-anak kecil sangat merbahaya,kerana mereka tidak melihat lakonan itu sebagai satu sempadan yang perlu mereka jauhi,tetapi mereka melihat lakonan itu sebagai sesuatu yang hebat untuk mereka contohi. Percayalah...mereka sangat mengagumi watak-watak gangster yang pandai membuat aksi pergaduhan kerana mereka rasa si gangster itu hebat dan kuat. Akhirnya perbuatan itu mereka tiru dan menunjukkannya pula di rumah mahupun di sekolah. Itu adalah hakikat. jadi,tidak mustahil ramai remaja dan kanak-kanak hari ini yang terlibat dengan pelbagai jenayah kerana unsur-unsur negatif yang dipertontonkan. 

Saya seorang guru,bila murid-murid tanya "cikgu,tengok tak cerita KL gengster?best cikgu..." kemudian mereka meniru aksi percakapan yang pada saya sangat tidak sopan dan kurang ajar seperti "siallah...." ketika bercakap dengan kawan-kawan...Ya Allah..saya rasa..perkara ini bukan perkara yang baik. Walaupun kita akan menegur mereka dan memberi nasihat,itu belum menjamin mereka akan ikut apa yang kita katakan. Kadang-kadang saya sangat marah dengan keadaan ini. Bayangkan bagaimana akhlak mereka terbentuk nanti?bagaimana pula cara mereka berbahasa dengan orang yang lebih tua dan sebagainya,kerana perkara-perkara adab dan sopan sudah tiada dalam cerita-cerita melayu sekarang. Semakin lama,semakin kurang.

Saya mengharapkan...walau sehebat mana pun penangan cerita-cerita begini di layar perak janganlah kita sebagai ibu-bapa memberi ruang kepada anak-anak untuk menontonnya. Jangan bawa anak-anak anda menonton cerita-cerita begini. Sudahlah segala tingkah laku negatif di paparkan,pakaian pun tidak menutup aurat..kadang-kadang macam dah tak berpakaian,pergaulan yang melampaui batas dan tiada nilai-nilai islam di dalamnya. Apa kebaikan yang boleh anak-anak itu perolehi? NOTHING...kita mampu berfikir...yang mana baik,yang mana buruk. Semoga Allah memimpin kita ke arah kebaikan dan mendidik jiwa kita agar terus dalam kebaikan dengan menjauhi dari kemungkaran. Bukankah melentur buluh itu biar dari rebungnya. Anak itu anugerah Allah buat kita,dunia dan akhirat...jagalah sebaik-baiknya.

Monday, December 26, 2011

Mana Yang Indah di Hati

Kita akan rasa indah...
bila kita melihat sesuatu yang kita suka..
sesuatu yang kita sayang...
sesuatu yang kita puja...
sesuatu yang cantik di mata kita...
sesuatu yang membuat kita rasa gembira...
dan sesuatu yang mendamaikan jiwa...

Kita merasakan hidup ini indah...
bila ada yang menyayangi...
ada yang sentiasa mengambil berat tentang diri kita...
ada yang melayan karenah kita...
ada yang memberi apa yang kita mahukan...
dan menjadikan hidup kita seperti di syurga....

Tapi,tidak semuanya indah di mata dan di hati kita...
ada masanya kita akan dikejutkan dengan perkara-perkara duka...
sedarkah kita?
itu bukan peragut bahagia dan keindahan hidup kita...
tapi itu adalah warna yang mencantikkan lagi sebuah kehidupan...

Mana sedapnya santapan kalau semuanya manis belaka...
tentu lebih seleranya bila ada yang pedas,pahit,masam,dan masin terhidang bersama...
penentu keindahan bukanlah yang cantik-cantik belaka...
yang manis-manis dirasa...
atau yang seronok-seronok sahaja...
indah itu adalah pada keseluruhan rasa yang dikurnia...
baru di situ akan ada rahmat dan hikmahnya...
akan ada ilmu yang bisa ditelah...
akan ada sempadan yang boleh dirujuki...
dan ada barakah yang kita cari..

Dunia mana yang kekal abadi...?
sekadar perhiasan yang akan luntur dan pergi..
sana akhirat yang kita cari...
bersama bekalan yang tidak pernah mencukupi..

Friday, December 23, 2011

Melangkah menjadi baik.

Salam semua...

Sukarkan untuk mengubah diri kita untuk menjadi lebih baik. Kadang-kala kerana pengaruh persekitaran yang tidak membantu malah memperkecilkan lagi niat baik itu. Kadang-kala pula hati kita sendiri juga bagaikan terhuyung-hayang bak lalang yang tidak tetap bila ditiup angin. Mungkin kerana keyakinan dan kepercayaan kepada diri yang sedikit rendah menjadikan kita tidak kuat untuk berubah.

Ada yang menyatakan untuk berubah,kita perlukan suasana yang baru, tempat yang baru mungkin juga mencari rangkaian rakan-rakan yang baru. Persekitaran yang boleh mendidik diri, suasana yang boleh memberi lebih ketenangan dan rakan-rakan yang akan memimpin tangan kita ke arah kebaikan.

Tahun baru yang bakal menjelang,mungkin ramai antara kita telah memasang niat untuk menjadi seseorang yang baru,yang lebih bersemangat menjalani kehidupan di bumi Allah dan lebih memberi motivasi kepada diri sendiri dan orang-orang disekeliling kita.

Tidak perlu terlalu drastik mengambil langkah untuk berubah,kerana takut nanti kita tidak mampu mengawal diri dek kerana perubahan yang kita lakukan, hingga akhirnya kita kembali berpaling ke belakang. Ambillah langkah yang kecil tetapi istiqamah, moga-moga dengan langkah yang sedikit itu akan ada keberkatan dan kebahagiaan yang berkekalan.


Wednesday, November 30, 2011

Wordless Wednesday : Pries be to Allah

Alhamdulillah...
~Sesungguhnya Allah itu Maha pemberi nikmat,namun nikmat yang terlalu banyak itu jarang-jarang pula kita syukuri kerana kita terlalu biasa dengannya sehingga kita lali dengan nikmatNya. Tetapi bila sekali kita didatangi kesusahan,masih juga kita lupa dengan nikmatNya kerana kita menganggap kitalah si malang yang sering diberi ujian sedang saat itu sebenarnya Allah sedang memberi kita peringatan~ 

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan  berkata:"kalau aku berbuat dosa, apakah akan ditulis?" Rasulullah menjawab:" ya, akan ditulis." lelaki itu bertanya lagi: "bagaimana kalau aku bertaubat?" jawab Rasulullah: "akan dihapus." lelaki itu bertanya lagi: "bgmana kalau aku ulangi lagi?" jawab Rasulullah: "akan ditulis." lelaki itu bertanya lagi: "bagaimana kalau aku bertaubat?" jawab Rasulullah: "akan dihapus". lelaki itupun beratnya: "ya Rasulullah, sampai bila Allah akan menghapus dosa?" jawab Rasulullah: "Allah tidak akan bosan memberi ampunan sampai kamu bosan memohon ampun." (maksud hadis riwayat. At-Thabrani & Al-Hakim)

Friday, June 10, 2011

Bila Allah Menduga

Selalu kita merasakan,apabila ditimpa musibah,kita adalah manusia yang paling malang ketika itu. Sering kita memandang ringan semua pendapat dan pandangan orang sekeliling. Kerana kita tidak mampu untuk berfikir dengan rasional dan sukar untuk bertenang. Kadang-kala kita rasa bangun duduk kita pun tak selesa, semuanya serba tak kena.

Orang sekeliling selalunya hanya mampu menyuruh kita bersabar atau paling tidak memberi pandangan yang kadang-kala kita rasa langsung tidak membina. Mulalah kita berfikir, "bolehlah dorang cakap begitu-begini sebab dorang tak berada ditempat aku...."
Sepatutnya bukan itu yang kita fikirkan, pandanglah kepada mereka-mereka yang punya musibah,masalah dan dugaan yang lebih besar dari kita. Jangan bandingkan masalah kita dengan masalah yang lebih ringan,tapi lihatlah masalah orang lain yang lebih besar dari kita. Betapa ramai orang yang diduga Allah dengan dugaan yang mungkin bila kita menghadapinya kita tak mampu untuk bertahan lagi.

Setiap masalah dan musibah yang menimpa adalah dugaan Allah buat kita. Setiap dugaan itu kita akan rasa berat yang teramat, sedangkan kita perlu ingat "sesungguhnya Allah tidak akan mendatangkan kesusahan dan dugaan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya". Sehebat manapun dugaan yang kita hadapi,yakinlah kita mampu menghadapinya.

Allah menduga kerana Allah menunjukkan kasih sayang-Nya. Allah memberi ujian kerana Allah memilih kita. Bila Allah memilih kita,bermakna Allah INGAT pada kita...beruntunglah bagi insan-insan yang diduga Allah..bersyukurlah kerana menjadi hamba-Nya yang terpilih untuk diduga,mudah-mudahan dugaan itu akan mematangkan kita,menjadikan kita lebih dewasa, memberi pengajaran yyang cukup bermakan dan yang lebih penting moga-moga dugaan itu akan menjadi tanda Allah memberi kita masa untuk mengingati-Nya dan satu jalan untuk kita mendekati-Nya.

Fitrah manusia..hanya mengingati Allah apabila mereka berada dalam kesusahan.

Monday, March 21, 2011

Apa pilihan yang kita ada?

Kita berdoa untuk mendapatkan yang terbaik dalam hidup,walau hakikatnya kita tidak tahu apa yang terbaik untuk kita. Sememangnya bukan hak kita untuk mengetahuinya..Allah jua Maha Mengetahui,hak kita berdoa dan memohon kepadaNYa.

Bila Allah melorongkan jalan untuk kita mendapatkan yang terbaik itu,kadang-kala kita tidak sedar itu adalah option yang Allah berikan untuk kita. Kita selalu leka,lalai dan mungkin juga kita tidak mahu sedar itulah optionnya. Sebab kita tak rasa itu yang terbaik untuk kita,walau hakikatnya kita tidak tahu hikmah disebaliknya.

Bila Allah meletakkan option yang jauh dari senarai kateria yang kita mahukan,semudah-mudahnya kita memandang rendah padanya dan membiarkan ianya berlalu tanpa cuba menjengah apa relatifnya ia pada kita. Bilamana pula option yang diberikan melangkaui apa yang ada dalam fikiran,kita akan menaggapkan terlalu berlebih-lebihan dan sangat berat untuk ditanggung badan tanpa kita lakukan apa-apa ikhtiar untuk cuba melaksanakan.

Sifat manusia ini memang banyak beralasan, banyak ber'kalau-kalau' sampai satu masa tiada yang cuba kita usahakan. Sedang Allah telah mengajar kita untuk berusaha dan berikhtiar sedaya mungkin serta serahkan segala usaha itu kepada Yang Maha Berkuasa.

saya:
berharap semoga saya sentiasa alert kepada option yang Allah berikan...dan boleh sedayanya lari dari memandang mudah semua perkara..insyaAllah...



Saturday, July 3, 2010

Sila Pakai Baju Sendiri.

Alah membeli menang memakai, satu pepatah orang dulu-dulu yang sangat sesuai bagi mereka yang mungkin sangat suka kelihatan bergaya biarpun mereka terpaksa menjadi papa. Biar orang tengok bergaya mengalahkan mak-mak datin atau dato'-dato' tersohor. Kalau tak boleh nak jadi datin atau dato' pun..boleh jadi seakan-akan mereka pun dah cukup membahagiakan mereka.

Saya ada kenal beberapa orang yang suka melaram sakan. baju mesti nak bling-bling...mesti beli kat kedai tahap butik2..kalau kedai biasa-biasa tak mainlah...apatah lagi made in pasar malam or pasar kemboja. Alasannya, tak berkualiti atau...nanti sama baju dengan orang lain. Ye la kan..kalau beli kat butik2 tu..mesti beli baju yang limited stok...kalau boleh nak yang ada satu tu jer dalam dunia.Ini kenyataan tau...

Sekali-sekala kalau 'ter'shopping dengan mereka-mereka ini...saya hanya akan jadi sekadar pemerhati..malu lah nak beli..kita carik barang yang budget murah jer..asal selesa dipakai dan cantik dipandangan mata. Dorang pulak sibuk mengesyorkan baju itu,kasut ini,beg begitu,sandal begini....yang harganya boleh buat duit minyak sebulan dan belanja makan 2 bulan....telan liur jer la tengok..sambil tersenyum manis....sayang duit nak bazir-bazirkan (pada saya membazir lah..sebab boleh dapat benda yang harga berpatutan...paling tak pun..harga yang tidak menyesal dibayar..)

Kadang-kadang tengok mereka-mereka memakai barangan berjenama ni rasa macam...wahhhhh...gah sungguh...orang-orang pun puji...cantik lah...cantik lah...bla..bla..bla...tapi bila fikir balik...nak pergi mana jer la dengan barangan yang mahal2 tuh...setakat nak tayang kat kawan opis jer...alahai...lagi sendu kalau baru 2-3 kali pakai berlaku gurisan atau luka-luka pada barang tu...mesti menangis tak berair mata...tapi tahan lagi kalau 2-3 kali pakai...kalau baru sekali pakai...hai...luluh jiwa...mahal tu..tak berbaloi kalau rosak...

Itu baru cerita bab pakaian dan barangan di badan...belum lagi bukak cerika kereta yang di pakai...ada yang sanggup berhabis beli kereta yang lebih dari separuh gaji...semata-mata nak nampak grand dan nampak besar...tidak kah mereka sedar kereta itu harta susut...kalau jual balik bukan boleh dapat harga 2-3 kali ganda banyak...tapi 2-3 kali ganda kurang.. belum lagi fikir maintanance kereta,minyak dan sebagainya. Ikat perutlah jawabnya..aktiviti bershopping sakan pun perlu dikurangkan. Kalau beli rumah..ok lah jugak, sebab rumah makin lama makin mahal, tapi nak buat macamana...memang orang macam ni wujud. Kenyataan ye!

Apa-apa pun saya berpendapat,elok dan molek sangat kita mengamalkan peribahasa 'ukur baju di badan sendiri'...tak payah nak berlumba-lumba untuk kelihatan mewah dan bergaya hanya kerana mengejar status dan pandangan orang terhadap kita. Jadilah seadanya, keperluan yang setakat perlu untuk diri kita,berbelanja mengikut kemampuan diri dan berfikir sebelum buat sesuatu keputusan. Tidak salah sekali-sekala kita berbelanja untuk diri sendiri..tapi biarlah berpada-pada..jangan sampai tahap membazir pulak..tak pasal-pasal jadi sedara syaitan...kan dah tak best...

alas tangan berbantal lengan:
mood sedih...pasukan pilihan kecundang :'(

Friday, April 16, 2010

Cuba fikirkan

Pernah tak anda terfikirkan,apabila anda membuka mata kemudian melihat sekitar dan semuanya gelap,hitam pekat. Anda cuba membesarkan biji mata,berusaha membuka mata seluas-luasnya, namun masih lagi serupa,kegelapan yang bagaikan tiada berpenghujung. Tika itu,tentu ketakutan menyelubungi diri. Meraba-raba mencari cahaya yang tidak pasti dan arah mana yang harus di tujui.

Pernah tak anda gambarkan bila anda membuka mata, anda terasa asing dan sunyi. Persekitaran menjadi beku sebeku-bekunya. Tiada satu suara pun yang kedengaran,waima bunyi desiran angin semilir. Fikiran menjadi sangat buntu,apa harus dilakukan kala itu?

Ada tak anda membayangkan,bila satu saat anda bersendirian. Tiada rakan taulan, saudara mara mahupun keluarga di sekeliling anda. Tiada seorangpun yang bersama anda. Anda berada dalam tempat yang gelap,sunyi lagi sempit. Anda terkapai-kapai keseorangan,walhal...anda sangat perlukan pertolongan. Anda rasa sangat terdesak,cuba untuk bersuara namun jeritan itu seakan tidak mahu terlontar. Berusaha sekuat tenaga, namun tetap hampa.

Di mana saya? meronta-ronta akal berfikir...di mana saya???? sehingga akhirnya anda tersedar...sesungguhnya,anda berada di dalam satu alam yang anda hanya punya diri sendiri sebagai pembela,dan segala perbuatan sebagai teman. Tiada rakan,tiada ibu ayah,tiada anak dan suami..tiada semuanya.

"Andai sahaja dahulu segala kebaikan aku laksanakan...tentu aku tidak setakut dan segentar ini. Andai saja waktu itu aku lakukan segala perintah-Nya...tentu sahaja cahaya terang akan menerangiku. Andai sahaja al-Quran itu aku jadikan sebagai temanku dan islam itu jalan hidupku...pasti aku tidak menderita keseorangan, menerima azab siksa sehingga hari di bangkitkan semua manusia....Andai ku mahu lakukan apa yang di ajarkan oleh kekasih Allah itu sebaik-baiknya,tentu rehatku di alam barzakh ini aman...tenteram..dan lenaku panjang menanti hari perhitungan.

Namun segala-galanya nyata terlambat. Sesalku ini sudah tiada gunanya...kerna telah terputus segala amalanku di dunia....alangkah ruginya...."




Friday, December 11, 2009

Bila waktu Berlalu

Sejak beberapa waktu,saya sering berfikir tentang berlalunya masa yang terasa begitu cepatnya. Seakan sekelipan mata,segalanya berlalu. Setahun itu bagaikan terlalu singkat. Saya tidak merasakan berbaloinya masa itu pergi,kerana terasa saya seperti telah mensia-siakan masa yang diberi Allah kepada saya.

Ya,Allah telah memberi waktu sama banyak kepada semua makhklukNya samada manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan selainnya. Allah menciptakan siang dengan waktunya dan malam dengan waktunya. Allah menyiapkan setiap detik tidak pernah kurang untuk semua makhluk. Terpulang pada mereka untuk menjadikan masa itu sebagai satu medan yang sangat berharga ataupun sekadar mensia-siakannya.

24 jam yang diberiNya digunakan siang untuk bekerja semahunya seakan kita boleh hidup selama-lamanya, dan dijadikan malam untuk kita berehat dan beribadah kepadaNya seakan esok tiada lagi. Namun sejauh mana kita memanfaatkan masa yang berlalu,hanya kita yang mampu menilainya.

Alangkah beruntungnya bagi mereka yang telah memanfaatkan waktu yang diberi untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta namun tidak pula meninggalkan dunianya. Sesungguhnya dia akan mendapat manfaat di dunia mahupun di akhirat. Sebaliknya,alangkah malangnya mereka-mereka yang mengejar-ngejar dunianya untuk menghirup nikmat yang sementara sedangkan mereka melupakan Allah Yang Maha Esa.

Saya melihat pada diri saya, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Berfikir untuk berubah tetapi tidak bertindak untuk berubah adalah sesuatu yang paling merugikan. Sesungguhnya, untuk melakukan kebaikan itu ada berjuta halangan,keutamaannya adalah semangat dan kekuatan hati. Begitu juga kata pujangga hendak seribu daya,tak nak seribu dalih, siapa berusaha dia akan berjaya, siapa menanam dia akan menuai hasilnya.

Semoga saja Allah akan terus merahmati kita,menguatkan hati-hati kita untuk terus berpegang pada jalanNya dan terus berpegang dengan taliNya serta memelihara iman di hati-hati kita. Senjata kita adalah doa yang penuh pengharapan kepadaNya,semoga Dia mengabulkannya.

Monday, November 2, 2009

Cermin Diri

Kurang sebulan lagi. Berakhir satu tahun. Ada impian yang belum tertunai. Ada perkara yang dikejar,tapi masih jauh dari jangkauan.

Cuma kurang sebulan lagi. Masih ada sisa detik waktu yang mungkin akan merubah sebuah reality.

Mungkin bagi yang sesetengah kita, inilah tahun yang paling bertuah,mendapat bahagia yang melimpah ruah. Bagi sesetengah yang lain, mungkin tahun ini tahun yang paling merumitkan, pelbagai perkara berlaku, menguji kekuatan. Apa jua keadaannya tentu ada hikmah yang tersembunyi. Takdir Allah yang berlaku adalah yang terbaik buat umatNya. Tanpa kita sedar…kerana kadang kala kita lalai dengan nikmatnya dan kadang kala kita lemas dengan dugaannnya. Bersyukurlah dengan apa jua ketentuanNya, perbaiki kekurangan diri kita untuk lebih dekat denganNya.

Saya suka untuk berkongsi, pembakar semangat, bila saya penat dengan pelbagai urusan dunia. Mungkin boleh menyedarkan kita Allah sentiasa ada dekat dengan kita

Cahaya Hati - Opick
Allah engkau dekat penuh kasih sayang
Takkan pernah engkau biarkan hamba-Mu menangis
Karna kemurahan-Mu
Karna kasih sayang-Mu

Hanya bila diri-Mu
Ingin nyatakan cinta
Pada jiwa yang rela dia kekasih-Mu
Kau selalu terjaga yang memberi segala

Allah Rahman Allah Rahim
Allahu Ya Ghafar Ya Nurul Qolbi
Allah Rohman Allah Rahim
Allahu Ya Ghafar Ya Nurul Qolbi

Di setiap nafas di segala waktu
Semua bersujud memuji memuja asma-Mu
Kau yang selalu terjaga yang memberi segala


Setiap mahluk bergantung pada-Mu
Dan bersujud semesta untuk-Mu
Setiap wajah mendamba cinta-Mu cahaya-Mu


Yaa Allah Ya Rahman
Yaa Allah Yaa Alllah Yaa Allah
Ya Nurul Qolbi.

Monday, August 31, 2009

Al-Kauthar : Sungai di Syurga

Hari ini saya ingin berkongsi satu info yang saya dapat dari yahoogroup sekolah saya. Saya rasakan bagus untuk dikongsi bersama sempena Ramadhan ini. Kalaupun kita tidak sempat untuk memegang dan membaca al-quran,memadai kita membaca surah-surah lazim yang sememangnya kita hafaz sedari kecil lagi. Surah yang mungkin boleh jadi amalan adalah surah al-kauthar.

Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripadabatu permata nan indah dan cantik.

Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu
dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:-

1) Baca surah ini ketika hujan dan berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t.
makbulkan doa kita.

2) Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher,
Insya'allah hilang dahaga.

3) Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air
mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

4) Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x, mudah-mudahan
Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

5) Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.

6) Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk
ketika
menunaikan solat.

7) Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allah
s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah
tetapi
dizalimi.


Dengan Ingatan:
Perkara yg baik kita kongsi2kan dan moga2 boleh jadi amalan bersama.

Thursday, August 20, 2009

Salam Ramadhan al-Mubarak

BUAT SEMUA TEMAN-TEMAN BLOGGER...
"Selamat menyambut Bulan Penuh Keberkatan..."
Mari kita rebut peluang melakukan sebaik-baik ibadah dalam bulan yang penuh barakah ini,dan semoga kita akan menjadi muslim yang lebih baik.
Jom Kita..
Bertadarus al-Quran, kalau tak dapat khatam dalam masa sebulan ini pun,sekurang2nya kita memperbanyakkan bacaan semampu kita.
Bersedekah, memperbanyakkan memberi dari menerima.
Bertarawih,menyemarakkan malam2 ramadhan dengan ibadah sunat dengan sebaiknya.
Menghidupkan sepertiga malam, moga-moga apa yang kita impikan akan Allah kabulkan pada bulan mulia ini.
Selamat berpuasa semua...Selamat menahan diri dari perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa kita.
INGAT!!!
Memang syaitan dirantai...jadi jangan biarkan HAWA NAFSU mengawal diri kita sepanjang ramadahan ini.