Thursday, October 11, 2012

Istisyarah - Istikharah - Istiqamah.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Semoga rahmat Allah bersama kita selalu :)

Istisyarah : bermusyawarah,consultancy, berbincang, bertanya pendapat dan pandangan orang lain.

Istikharah : bertanya kepada Allah serta memohon petunjuk kepada keadaan yang baik buat kita. Perlu diingat,istikharah di buat sebelum kita ada kecenderungan ke atas sesuatu keputusan. Di khuatiri, kecenderungan kita akan merosakkan hasil istikharah kita nanti.

Istiqamah : tetap dengan pilihan yang dibuat dan berusaha menjaga keputusan itu agar terus baik dalam jagaan syariat.

Tiga elemen penting untuk kita dalam menjalani kehidupan. bila perlunya membuat sesuatu keputusan bagi memilih yang terbaik buat kita untuk kehidupan dunia kita, untuk agama kita dan untuk kehidupan akhirat kita,maka perlu untuk kita mencari jalan yang baik dalam menimbang sesuatu keputusan.

Bertanya kepada orang-orang yang ahli dalam pilihan yang kita ada, adalah satu cara pencerahan yang baik. Dalam konteks apa pun, memilih pekerjaan atau tempat tinggal, kenderaan mahupun jodoh. Bertanyalah kepada orang-orang yang mahir dalam bidang-bidang tertentu, arif dengan situasi dan keadaan sesuatu kawasan dan tempat, berkebolehan mengenal sistem sesuatu kenderaan serta bertanya tentang keadaan seseorang melalui rakan taulan,sahabat sekerja, keluarga mahupun saudara mara sebelum menimbang untuk memilih sesuatu keputusan. 

Selepas mengumpul semua maklumat tentang faktor-faktor kelebihan dan kekurangan maka kita serahkan pula kepada Allah s.w.t untuk membantu kita memilih jalan manakah yang terbaik buat diri kita hari ini dan di hari-hari yang bakal mendatang. Melakukan solat istikharah dalam keadaan bersedia dengan segala ketetapan, menyucikan hati, bertenang serta bertawakkal semata-mata kepada Allah. Jawapan kepada persoalan itu boleh jadi muncul dalam mimpi, boleh jadi juga ianya datang dengan gerak hati atau mungkin kebetulan-kebetulan sekeliling yang lebih memihak kepada satu pilihan di antara pilihan-pilihan yang ada. Kerana itu, sangat dicadangkan untuk melakukan istikharah,hanya ketika kita tidak punya kecenderungan kepada sesuatu pilihan. Kerana sungguh syaitan itu akan mengganggu kita dalam keadaan yang sama juga (mimpi,gerak hati & segala kebetulan). Tidak juga hanya perlu di lakukan solat ini sekali sahaja, mungkin perlu diulang beberapa kali cuma jangan sampai timbul rasa ragu-ragu. Ragu-ragu itu juga permainan syaitan.

Andai keputusan telah dibuat,apapun yang di pilih samada berdasarkan jawapan dari istikharah atau tidak, maka haruslah kita tetap istiqamah dengan pilihan yang kita buat. Andai bekerja, buatlah sehabis baik, andai memilih tempat tinggal,bermasyarakatlah kerana Allah dan andai pilihan jodoh,kekallah meletakkan dia ditempat yang sepatutnya dan jangan dizalimi dirinya kerana keputusan yang kita lakukan.

Indah hidup dengan Islam. It's a way of life. Semua gerak hidup kita Allah aturkan secantik-cantiknya, tinggal kita saja yang ingin mengambilnya menjadi cara hidup atau tidak. 

Semoga Allah redha dan pelihara setiap amalan dan pilihan kita...

No comments: