Tuesday, April 17, 2012

Itu Sunnah

Sunnah adalah apa yang dipindahkan dari Rasulullah setiap perkara yang merangkumi,perbuatan,perkataan dan taqrir (baginda berdiam diri,tidak menunjukkan persetujuan atau bantahan terhadap sesuatu perkara) sebelum nabi diutus menjadi nabi atau selepasnya. 

Mudah nak difahami ialah setiap apa yang Nabi katakan dan setiap apa yang Nabi lakukan sepanjang hayatnya dari sejak kanak-kanak hingga kepada hari kewafatan baginda s.a.w ianya adalah sunnah. Sunnah adalah perkara yang kita harus contohi sedaya dan semampu kita,malah kita digalakkan untuk berusaha sehabis baik untuk mengikuti dan mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w.

Seperti yang kita sedia maklum,Nabi Muhammad mempunyai akhlak yang sangat terpuji. Bayangkan akhlak Nabi adalah al-quran. Sebaik-baik manusia yang wujud di muka bumi, semulia-mulia insan yang diciptakan Allah dan sesantun-santun manusia yang tiada tolok bandingnya. Sehingga baginda bukan sahaja dicintai setiap manusia yang menampinginya,yang hidup bersamanya dan selepasnya malahan baginda dihormati dan dikagumi oleh musuh-musuhnya.

Kita sering bermegah-megah dengan sunnah baginda yang hebat-hebat,yang besar-besar,yang kadang kala kita tidak yakin kita mampu melakukannya. Senang contoh, bila masuk bab berpoligami semua lelaki setuju, semua lelaki nak jadikan contoh, ada yang kata kalau tak ikut sunnah yang itu,satu kerugian bagi mereka. Tapi bila bab adilnya,bila bab menyantuni isteri-isterinya, bila bab melayan anak-anaknya ataupun menunaikan nafkahnya selalu sahaja lari jauh dari sunnah baginda. Cuba fikir balik,bila nak ikut contoh nabi dalam sesuatu perkara, perlulah mengambil semua aspek sunnah dalam perkara itu sebaik-baiknya.

Saya bukan mahu prejudis, cuma menjadikan contoh. Banyak sebenarnya amalan-amalan sunnah yang sangat mudah untuk kita contohi tapi kita meremehkannya. Antaranya:-

  1. Mengalihkan halangan di tengah jalan seperti duri,batu,kayu dll yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan itu, rasanya jarang sekali kita amalkan. Seboleh-bolehnya kita mengelak daripada benda yang menghalang itu tanpa mengenepikannya. 
  2. Meneggelamkan lalat yang masuk dalam air (sesudah itu dibuang lalat itu) kemudian meminum airnya. Kita kalau nampak lalat dalam jug air,terus buang air satu jug tu,tapi kalau ada semut,kita buang semutnya sahaja,sedangkan nabi melarang kita dari minum air yang ada bangkai semut.
  3. Mengucapkan salam bila berpapasan di perjalanan. Ini amalan utama yang Nabi lakukan. Tapi sekarang amalan inilah yang paling kurang dalam masyarakat kita. kerana itulah ukhuwah kita semakin renggang,nak ucap salam pun kita malu,dengan alasan saling tidak mengenali.
  4. Melemparkan senyuman (yang ikhlas dengan niat menyenangkan hati orang lain) . Sedang nabi telah bersabda mafhumnya senyum itu sedekah,tapi lebih ramai yang rela mempamerkan muka masam bak cuka dari dapat pahala bersedekah.
  5. Menjaga kebersihan. Bukan setakat bersih baju sendiri sahaja, malah kebersihan persekitaran kita. Tidak kiralah walau dimana pun kita berada. Cuba anda lihat,bila kita berjalan ke mana-mana, maka kita akan melihat betapa sampah dibuang merata-rata. Longkang penuh sampah,kaki lima banyak sampah,kedai makan pun ada sampah. Yang paling sadis orang yang buang sampah dari dalam kereta (ketika kereta bergerak). Memang dah jadi masyarakat yang tidak bertimbang rasa. Sedangkan bukan susah pun kalau bunag sampah dalam tong sampah,atau simpan sampah sekejap sebelum jumpa tong sampah. Dapat pahala buang sampah dengan cara yang betul.
Itu antara sunnah-sunnah yang sebenarnya sangat mudah untuk kita buat,tapi kita ambil mudah dengan perkara-perkara itu. Sedangkan sekecil-kecil sunnah yang kita amalkan itu ganjarannya adalah pahala. Berlatihlah untuk amalkan sunnah-sunnah yang kecil-kecil dengan istiqamah, mudah-mudahan Allah mudahkan kita untuk mengamalkan sunnah-sunnah yang lebih besar, insyaAllah. Jangan sibuk mengejar gunung tapi kita lupa nak melihat tanah yang kita sedang berpijak. 

Jangan lupa untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad setiap hari,moga-moga kita beroleh syafaat daripadanya. Jom ikut sunnah Rasulullah s.a.w.

(^__^)v

2 comments:

Abd Razak said...

Assalamualaikum...

Ya benar, jika kita berjaya menghidupkan sekcil-kecil sunnah dalam kehidupan kita alangkah berkatnya hidup kita.

Izzah said...

@Abd Razak

Ya betul..kita mulakan yang kecil2 tapi istiqamah..jgn persoalkan setiap perbuatan yang dtg dr Rasulullah..sebab apa yang datang daripada baginda adalah sebaik2 akhlak dan perkataan...